Sejarah Sekolah


               

SEJARAH SEKOLAH

SK CHENEIN


           Pada asalnya sekolah ini didirikan di Jeram Petai yang berhampiran dengan pekan kecil Lasah bagi menampung pendidikan masyarakat Orang Asli di kawasan ini pada 1 Januari 1961, yang merupakan cawangan Sekolah Kebangsaan Lasah dengan seorang guru iaitu Encik Abu Samah bin Alg.Mahadi dengan bilangan muridnya seramai 41 orang. Bangunannya hanyalah menyerupai sebuah bangsal beratap rumbia dan bertam, dindingnya daripada buluh tanpa meja dan kerusi.

Pada 1 Januari 1962, sebuah bangunan baru telah didirikan di Kg.Peroi yang terletak 5 km dari pecan kecil Lasah oleh pihak JKR. Sekolah Chenein diambil dari nama perkampungan Orang Asli yang dibuka berdekatan dengan Sungai Peroi dan kemudiannya dirasmikan oleh Tok Pangku Andak Hamid yang merupakan Ahli Dewan Negara pertama bagi kaum Orang Asli di Malaysia pada waktu itu.

Pada tahun 1966, tenaga pengajarnya telah bertambah seramai 3 orang dan terus meningkat kepada 5 orang dengan bilangan muridnya seramai 89 orang. Pengurusan sekolah ini ditadbir oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada tahun 1985, pihak KPM telah mengambil alih sepenuhnya dan Guru Besar pertama ialah Encik Osman bin Mat Isa dengan dibantu oleh 6 orang guru.

Pada 16 November 1987, Encik Abdul Mutai bin Mat Nordin telah menjadi Guru Besar kedua dengan sebelas guru dan seorang PRA. Pada 1 Jun 1994, Guru besar ketiga ialah Encik Abdul Wahab bin Sulaiman sehingga 12 Disember 1996 dan beliau diganti oleh Encik Mohd Razif bin Kamaruddin sehingga 16 Disember 1998. Beliau diganti pula oleh Encik Mohd Daud bin Saad. Pada 30 Oktober 2000 beliau bertukar ke Ipoh bagi menjawat Jemaaah Nazir. Pada 20 November 2000, Encik Yunos bin Ismail melapor diri bertugas sebagai Guru besar sehingga 16 Ogos 2002 dan diganti oleh Encik Ahmad Khori bin Kamaruddin. Mulai 16 Mac 2010, Tn. Syed Isa bin Syed Ahmad menjadi Guru besar dengan dibantu oleh 20 orang guru dan 12 kakitangan sekolah.